Blogger Layouts

HELP ME TO SPREAD ISLAM BECAUSE OF ALLAH / BANTULAH SAYA MENYEBARKAN AGAMA ISLAM KERANA ALLAH

.

mulakan dengan? Bismillah...

mulakan dengan? Bismillah...

Friday, 30 September 2011

Ratuku...

Ratuku...
Inginku luahkan,
Apa yang sudah lama inginku luahkan,
Tentang kebimbanganku ini,
Tatkala melihat bunga-bunga berguguran,
Di petik tangan-tangan yang ganas,
Lagi bernafsu serakah.


Ratuku...Kebimbanganku ini masih menebal,
Apabila ku dengar,
Dengungan kumbang perosak,
Yang cuba menyedut madumu,
Walau tanpa relamu.


Ratuku...Kebimbanganku bertambah lagi,
Bila ku melihat,
Bunga yang tidak segan silu,
Melampiaskan kecantikannya,
Ketika sedang mekar,
Melupakan kuntuman,
Yang sebelum ini melindunginya.


Ratuku...Aku masih terpinga-pinga,
Masih wujudkah lagi,
Ratu idaman hatiku,
Kerana apa yang aku lihat hari ini,
Semakin banyak bunga-bunga gugur,
Bagaikan tibanya musim luruh.


Ratuku...Bukanlahku harap,
Kau segigih Siti Hajar,
Yang berlari-lari,
Antara Safa dan Marwah,
Bukan juga sesetia Ainul Mardiah,
Yang menanti kekasihnya di pintu Syurga.


Ratuku...Akuilah hakikat yang tersurat,
Engkau bukanlah Siti Khadijah,
Mahupun Siti Fatimah,
Engkau bukan Aishah,
Bukan juga Rabiatul Adawiyah,
Wanita suci terpuji,
Kerana aku tidak layak,
Berharap sedemikian rupa.


Cukuplah sekadar,
Kau cuba mencontohi,
Bunga-bunga itu,
Kembang mekar mewangi,
Sehingga harumannya,
Melewati pintu-pintu Syurga.


Jangan kau risau ratuku,
Kadang kala musim berganti,
Sehingga bunga tidak dapat berkembang mekar,
Tapi itu,
Hanya ujian buatmu.


Ratuku...Esok musim bunga pasti akan tiba,
Dan kau akan mampu berkembang lagi,
Cuma yang ku harapkan ketika itu,
Kau jaga kelopakmu itu,
Jangan sampai tangan-tangan kasar,
Memetik mu lagi.


Jangan goda kumbang-kumbang ganas,
Menghisap madumu,
Jangan biarkan,
Gagak-gagak hitam itu,
Merosakkan serimu,
Kerana kau
RATU IDAMAN KALBU.


Ratuku..Aku bukanlah memandang kecantikanmu,
Walaupun kadangkala aku tertarik memandangnya.
Tapi bukan itu yang ku harapkan,
Aku yakin ratuku,
Masih ada sinar harapan,
Yang membuatku tersenyum lega,
Kerana akan ku temui,
RATU yang benar-benar RATU.

Rawat Hatimu..

Hati ini,
Dulu putih bersih,
Kini tompok hitam kian penuh,
Hatiku makin lumpuh.

Ya Allah,

Aku gagal lindungi hati ini,
Hati yang telah KAU pinjamkan untukku semai,
Mengikut fitrah yang telah kau tetapkan.

Namun hati ini,
Makin lama makin goyah,
Dicambahi benih-benih dosa,
Hatiku semakin alpa,
Aku hanyut dalam gelombang hawa nafsu,
Yang kian mencengkam sanubariku.

Semalam hatiku dijentik,
Betapa aku leka selama ini Ya Allah,
Terima kasih Ya Allah kerana masih menjagaku,
dan tidak pernah meninggalkanku,
Saat aku semakin jauh,
kau kirimkan seseorang untuk menegurku,
Menyedarkan aku daripada dunia fana.

Akan ku cari kembali cahaya yang kian sirna,
Akan ku semai kembali hati ini,
Akan ku cuba selagi terdaya,
Kerana hati ini hanya pinjaman dariMu,
AmanahMu buatku,
Ampunilah hambaMu ini,
Ya Rabb.

KENAPA...???

KENAPA...
Kenapa
jiwa rasa terbeban ?
Kenapa hati terasa rawan ?
Kenapa akal tak mampu rasional ?
Kenapa diri terasa lemah ?
Kenapa nafsu tak mampu dikawal ?

Kerana…Lemahnya iman
Kerana…Banyaknya dosa
Kerana…Serongnya niat
Kerana…Tingginya ego
Kerana…Jauhnya diri
Dari RABB YANG MAHA AGUNG


Duhai diri…Bangkitlah dari kelemahan imanmu!
Duhai diri…Bangkitlah dari keegoan dirimu!
Duhai diri…Bangkitlah dari perangkap nafsumu!

Demi deenul Islam
Demi dakwah ini
Demi ukhwah ini


Agar…Berkembang harum mewangi
Agar …Terhampar seluas duniawi
Agar…Dijulang setinggi samawi
Syariat YANG MAHA SATU!

Jangan Malu Menangis

Menangislah,
jika itu tanda sesalmu,
jika itu tanda taubatmu,
jika itu tanda takutmu.

Menangislah,
basahkan pipimu dengan penyesalan,
buangkan segala rasa keangkuhan,
sirami hatimu dengan ketakwaan,
rayulah hidayah Tuhan, moga kau kan ketemu
manisnya keinsafan.

Doa Sejernih Salju...

Ya Allah...Ya Rahman...Ya Rahim...
KAU ampunilah dosa-dosaku yg telah kuperbuat..
KAU limpahilah daku dgn kesabaran yg tiada terbatas..


Ya Allah...kuatkan hatiku & semangatku..
tabahkan aku menghadapi segala cabaran-MU..


Ya Allah...sesungguhnya...
aku lemah tanpa petunjuk-MU..
aku buta tanpa bimbingan-MU..
aku cacat tanpa hidayah-MU..
aku hina tanpa rahmat-MU..


hanya pada-MU Ya Allah kupohon segala harapan..
kerana ku pasrah dgn dugaan-MU..
kerana aku sedar hinanya aku..
kerana aku insan lemah yg kerap keliru..
kerana aku leka dgn keindahan dunia-MU..
kerana kurang kesabaran dalam menghadapi cabaran-MU..
kerana pendek akalku mengharungi ujian-MU..


Ya Allah...Ya Tuhanku...
...aku hanya ingin menjadi...seorang anak,seorang wanita,seorang hamba yg solehah..


Ya Allah...Ya Tuhanku...
...aku hanya ingin menjadi insan yg dirahmati...insan yg dikasihi...jua insan yg sentiasa dihati...


Aamiin...

Sunday, 25 September 2011

Izinkan Cuma ENGKAU yang Bertakhta di Hati...

Di pelataran dinginnya malam, ku terdampar sendiri.

Saat ini, tika ini, hati seakan terdera dengan amukan hawa nafsu dan perasaan yang mengetuk-ngetuk tangkai hati. Tidak semena-mena, titisan jernih jatuh, setitis demi setitis. Hati sebak.

Dibiarkan air jernih itu mengalir hangat. Berlawan dengan emosi, ternyata seringkali diriku menjadi kalah. Nurani membentak, jiwa ini tidak tenang. Kenapa? Kenapa begini? Kenapa sekarang jadi begini?

Dulu hati ini dapat merasai sebuah ketenangan. Namun kini ketenangan itu seakan-akan diragut. Diragut oleh siapa? Apakah ia hilang ditarik oleh Tuhan? Atau kerana dosa-dosa yang dilakukan? Soalan-soalan itu bertubi-tubi menyoal, namun hati sememangnya tidak mampu menjawab. Terdiam sepi. Adakah hati ini telah mati?

Memang tidak ku nafikan, dia sangat menyayangi diri ini. Tetapi berkali-kali ku ingatkan pada diri, kasih sayang itu tidak abadi!

'Berpada-padalah dalam menyayangi, jika tidak kelak dikau akan menangisi!'

Namun kini, ku pula yang terkena panahan kasihnya itu. Semakin ku lari, semakin dia mendekati. Benarlah. Menjaga sekeping hati amat sukar sekali. Perlu sangat cermat dan berhati-hati. Ku mengeluh, melepaskan sebuah keluhan perasaan yang berat, yang semakin memberati rasa hati.
Jiwa ini tidak lagi suci, terasa ia tersangat kotor.

"Ya Ilahi, di manakah Engkau selama ini yang bertakhta di hati? Kenapa ia sekarang telah terganti dengan makhlukMu? Kenapa diri terlalu tega menggantikan tempat teragung itu dengan insan dan makhlukMu yang hina?"

Hati bermonolog lagi sendirian. Tidak! Ia punya peneman. Allah sentiasa ada mendengar setiap keluhan.

"Astaghfirullahalazim.... Ighfirli Robbi... Ighfirli...."

Bibir memantulkan kalimah suci itu perlahan-lahan. Bibir diketap erat. Menahan tangkai emosi yang kian membuak-buak rasa pilu dan syahdu bila menyebutkan nama terindah itu, jiwa menjadi mudah terusik.

Berbicara dengan Sang Agung, air jernih itu terus menitis kemudian semakin mencurah-curah. Teresak-esak.

"Ya Rabbi, pegang hati ini, dakaplah ia seerat-eratnya, jangan sesekali biarkan ia termiliki oleh makhlukMu, ku tidak sanggup menggantikan tempatMu dengan yang lain, tidak sanggup juga berkongsi rasa itu, ku cuma mahu kasih itu teragung untukMu, ku cuma mahu rindu itu terpatri untukMu, ku cuma mahu cinta itu hanya membunga untukMu Tuhan, jangan biarkan daku terkalahkan dengan emosi dan perasaan yang seringkali dipermainkan oleh syaitan.
Ya muqallibal qulub, tetapkanlah jiwa ini setulusnya di jalanMu, pancarkan cahaya bagiku di jalan yang gelap agar aku tidak teraba-raba kesepian sendirian di hujung jalan yang kelam, jangan biarkan ku terus begini tanpaMu disisi.
Ya Allah, Izinkanlah! Aku Cuma ingin Engkau yang bertakhta di hati ini "

Berkali-kali kalimah itu diungkapkan pilu dalam pelantaran sujud. Wajah diraup setelah tangan menadah. Hati terus berdoa dan berharap, semoga Dia menerima segala-galanya.

Wahai Sang Kumbang...

Wahai Sang Kumbang...
Kau diberi kelebihan untuk menghisap madu bunga-bungaan,
Kau diberi peluang memeliharanya dengan kudrat tangan,
Kau diberi mandat membetulkan lenggokan bunga-bunga yang harum di taman,
Harus kau ingat amanah ini bukan mainan mahupun satu kebanggaan.


Wahai Sang Kumbang...
Tatkala Kau bertaut pada bungaan yang berduri,
Janganlah sesekali Kau kasari dengan kerakusan hati,
Kerana baginya itulah satu-satunya perisai diri,
Sebaiknya Kau belailah ia dengan kasih sayang dan rasa takwa kepada Ilahi.


Wahai Sang Kumbang...
Janganlah sesekali Kau meleraikan kelopak bunga yang sedang berkembang,
Janganlah sesekali Kau mencemarkan bunga-bunga yang indah dipandang,
Janganlah sesekali Kau patahkan ranting untuknya bertaut meneruskan kehidupan,
Janganlah sesekali Kau menjadi kumbang yang cacat dan menjengkelkan.


Wahai Sang Kumbang...
Ingatlah kuntuman bunga-bunga ini mendambakan kehidupan abadi,
Bukanlah kehidupan sejenak yang menjanjikan kebahagiaan sementara ini,
Ingatlah bunga-bunga ini bukan untuk santapanmu yang bernafsu berahi,
Tetapi bunga-bunga ini amanah kepadamu untuk kau hayati dan hargai.


Wahai Sang Kumbang...
Kau bebas terbang dan bertaut di Bunga yang kau dambakan,
Namun, perlu Kau ingat bukanlah nafsu yang harus menjadi ukuran,
Cukuplah sekadar apa yang kau mampu untuk hadamkan,
Semarakkanlah ia dengan baja-bajaan yang diamanahkan.


Wahai Sang Kumbang...
Janganlah dirimu terbang menghisap madu dan berlalu pergi,
Usah bebankan hati Bunga yang tidak mampu terbang tinggi,
Setialah di situ dan didiklah ia dengan kasih yang suci,
Semoga Kau bisa menjadi Kumbang yang sentiasa dirahmati.

Thursday, 22 September 2011

Hadiah Dari Allah...

Hadiah yang berharga dari Tuhan kepada hamba-Nya adalah apabila Dia mengurniakan kita insan-insan yang hatinya berkehendak kepada Tuhan...Insan-insan inilah yang akan bersama-sama meniti denai kehidupan...Yang akan berjalan seiringan,saling berpesan pada kebenaran dan kesabaran...Saling menjana iman dan kekuatan,setiap gerak tindakan sentiasa menyedarkan erti hidup bertuhan dan insan-insan ini hatinya rindu pada kebenaran dalam mengatur langkah meniti kehidupan mencari redha Tuhan...

AVOID IKHTILAT

"...there must be a  certain distance between cars for safety,as such there must be a distance between male and female for safety..."

Sunday, 18 September 2011

Titisan Air Mata...

Ada 2 titis air mata mengalir di sebuah sungai. Satu titis air mata tu menyapa air mata yg satu lagi...

” Saya air mata seorang gadis yang mencintai seorang lelaki tetapi telah kehilangannya. Siapa kamu pula?”.

Jawab titis air mata kedua tu,” Saya air mata seorang lelaki yang mencintai seorang gadis tetapi telah kehilangan Pencipta saya"